Tuesday, July 16, 2013

Kembara Sang Hati

Assalammualaikum,
Ini adalah sebuah cerpen seorang hati didalam perjalanan tassauf.





                            

    Betapa sugul si hati halus apabila di hentak-hentak,di henyak-henyak oleh hati sombong,ego,hasad dan seonar dengannya,saat hati halus ini sedang menjalani liku-liku tebing-tebing yang curam dan baru-batu tajam yang menyucuk-yucuk,menolak-nolak agar hati halus ini tergelincir lalu tersungkur melutut dihadapan kebinasaan lalu mati.Saat hati halus ini memerlukan bimbingan dan kecintaaan akan tetapi dibalas dengan kebencian oleh hati-hati yang lain.Tapi hati halus terus tabah dan cekal menjalani kerana yakin dengan hidayah yang diperoleh dari cinta yang Maha Esa.
    Hati halus terus melangkah dengan bersungguh-sungguh walaupun merangkak-rangkak mengatur langkah agar dapat sampai ke puncak,walaupun hati halus sendiri tidak pasti apakah kejayaan yang akan ditemui ataupun kesialan yang sedang menanti?.Setibanya di belukar yang kelam si hati halus terhenti seketika dek kerana pandangannya yang terhalang untuk perjalanan diteruskan.Sedang ia berehat-rehat di bawah sebatang pokok datang seorang hati yang menyapa dan memperkenalkan dirinya sebagai hati sesat.Hati sesat dengan penuh kobarnya mencuba menyesatkan si hati halus dengan janji-janji manis.,keindahan-keindahan dunia,berseronok-seronok dengan isinya yang mana sebenarnya hanyalah sebuah fatamorgana sahaja.Jika mahu diikutkan kesedihan dan kepenatan yang dialaminya mahu sahaja dia mengikut kata-kata si hati sesat itu dapat juga dia berseronok-seronok di alam dunia itu.Tetapi di sebalik kehalusan hatinya itu ada keteguhan dan ketetapan yakni pada yang Satu yang diyakini sering membantu.
    Tidak mahu lagi dia terjerumus lagi kekancah kehinaan yang pernah dilaluinya dulu.Hidup penu dengan kemungkaran dan kemaksiatan.Setiap hari ada sahaja perkara-perkara  dosa yang mahu dilakukannya,apatah lagi pada waktu itu ramai sahabat-sahabat hati yang lain-lain turut bersama dengannya terjerumus ke lubang kehinaan.Tetapi semenjak dia mendapat hidayah dari yang Esa ini,sahabat-sahabat yang dulu berpaling kepadanya malah terus mencaci kepadanya.betapa pilunya si hati halus,terpaksa menjalani perjalanan ini sendirian tanpa ada teman disisi.Maka berjalanlah si hati halus sehingga tiba di belukar yang kelam ini dan bertemu dengan hati sesat,tetapi dengan semangat yang tekad si hati halus Berjaya bertemu dengan cahaya di sebalik belukar lalu dia berlari meninggalkan si hati sesat di dalam belukar yang kelam itu sendirian.Didalam lariannya menuju cahaya terlihat lah olehnya di kiri dan kanannya banyak hati-hati yang sedang leka dan lalai,berseronok dengan alam dunia yang sebenarnya hanyalah fatamorgana itu.Mereka itu telah berjaya disesatkan oleh hati sesat.

    Sekeluarnya dari belukar itu hati halus terlihat cantiknya pelangi yang muncul dipetang hari.Betapa gembiranya si hati halus apabila dihampirinya pelangi itu terdapat ramai hati-hati yang suci,putih dan bersih yang sama sepertinya juga mendapat cahaya dari Tuhan yang maha Esa.Bersama-sama memanjat-manjat tangga sang pelangi untuk menuju kepuncak yang di idami.Sewaktu di dalam pendakian itu bertemu lah si hati halus dengan si hati suci,dan mereka menjadi sahabat yang baik sepanjang perjalanan itu.Si hati suci banyak memberikan nasihat dan pandangan kepada si hati halus,diberikannya ilmu yang pernah dipelajarinya,katanya dengan ilmu itu nanti dapatlah dijadikan bekalan untuk sampai kepuncak nanti.Berbulan-bulan mereka mendaki pelangi itu tetapi tidak juga sampai-sampai kepuncak.Tetapi mereka tetap tekun mendaki tangga-tangga pelangi itu seperti mana tekunnya si hati suci mengajarkan ilmu kepada hati halus.
    Sehinggalah pada satu ketika si hati halus bertanya kepada hati suci apakah yang ada di puncak itu sebenarnya? Kerana sudah lama dia ingin mengetahui jawapannya.Akan tetapi persoalannya dijawab dengan kurang enak si hati suci,kerana baginya persoalan itu tidak patut wujud dan hati halus baginya sudah menderhaka kerana mempunyai persoalan seperti itu.Lalu dalam keadaan yang marah maka ditinggalkannya hati halus mendaki tangga pelangi itu sendirian kerana tidak mahu dia bersama dengan hati halus yang dikatanya menderhaka itu.Hati halus benar-benar berasa hiba,hanya kerana satu persoalan yang terbuku dia marahi dan dibiarkan sendirian dan bukannya dibimbing apatah lagi diperbetulkan.Tetapi hati halus masih sahaja meneruskan pendakiannya di tangga pelangi itu kerana dia tetap yakin dengan Tuhannya yang tunggal itu.
    Setibanyanya di penghujung tangga-tangga pelangi itu barulah si hati halus menyedari bawasanya perjalanannya bukanlah mendaki kepuncak,tetapi hanyalah untuk melihat puncak sesudah itu kembali turun kebawah semula.Selama berbulan-bulan dia dan hati-hati yang lain tertipu kononnya perjalanan mereka menuju ke puncak.Dilihatnya hati-hati yang lain sedang bermesyuarat mencari jalan yang lain untuk terus mendaki,dan dilihatnya si hati suci berbisik-bisik kepada mereka sambil memandang-mandang ke hati halus lalu mereka terus menjauhkan diri.Dengan perasaan yang hiba hati halus mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan seorang diri dan hanya berserah kepada kekasihnya yang Satu itu.
    Setelah puas mengembara diatas pelangi yang diharapkan menyinari lubuk hati itu,perjalanan si hati halus bertemu pula dengan kesurupan malam yang penuh dengan kedinginan yang menusuk-nusuk kecelah-celah nurani.tidak ada cahaya,tidak ada petunjuk tidak ada teman terus membuatkan si hati halus menangis teresak-esak kerana kesedihan yang teramat menikam-nikam dirinya itu.
    Setibanya di persimpangan si hati halus terhenti sejenak,jalan manakah yang harus di ambilnya,jalan kirikah atau jalan kanankah.Berhari-hari dia berada di persimpangan itu,fikirannya buntu,akhirnya dia memilih jalan kanan kerana permintaan alam yang sering mengatakan kanan itu lebih baik dari kiri.Maka berjalanlah si hati halus mengikuti haluan yang di pilihnya.seperjalanannya tanpa disedari dia ditegur oleh seorang hati yang tidak dia perasan daripada munculnya hati itu.Hati itu memperkenalkan diri sebagai hati tenang,katanya dia juga seorang pengembara ke puncak yang sudah berjaya tiba di sana dan dalam perjalanan pulang.Hati halus berasa amat teruja dengan perkenalannya bersama hati tenang,lalu dengan gopoh-gapah di Tanyakan kepada hati tenang apakah yang berada di puncak itu.Hati tenang hanya tersenyum sinis,dikatakan kepada hati halus.
    “Wahai hamba Tuhan mari aku ceritakan apa yang sebenarnya hala dan tujuan kamu.Janganlah kamu bersusah-payah,berperit lelah mencari apa yang ada di puncak itu.Sesungguhnya Tuhan kamu sudah memberikan kamu kesenangan dan kesedapan di atas dunia ini.Sesungguhnya perjalanan kamu kesana hanyalah sia-sia,kerana kamu dituntut untuk bersuka-ria diatas muka bumi ini”.Berkata hati tenang lagi “bukankah kelahiran kamu di dunia ini adalah kerana keseronokan ibu dan bapa kamu?”.Jadi mengapakah kamu menyempitkan fikiran kamu untuk mengetahui apa yang berada di puncak sana?”.Lalu berkata pula si hati halus,”bukankah dunia ini adalah tempat yang dikeji maka kerana itulah si  Adam dicampakkan ke dunia dan dikeluarkan dari syurga yang indah kerana mengingkari Tuhan nya?”.Lalu berkata si hati tenang,”tidakkah engkau sedar si Adam di ciptakan didalam keadaan yang mulia hanya daripada tanah hinggakan si syaitan mengingkari perintah Tuhan nya kerana merasakan dirinya lebih mulia dari si Adam,lalu Tuhan nya bersumpah si syaitan tidak akan pernah mencium bauan syurga dan di campakkan kedalam neraka selama-lamanya.Akan tetapi si Adam yang mengingkari Tuhannya hanya dicampakkan ke dunia dan di pisahkan sementara dengan si Hawa tetapi dengan memohon keampunan kepada Tuhannya mereka di temukan kembali dan menikmati kehidupan dunia sehingga melahirkan zuriat yang melimpah-limpah diatas dunia dan setelah dimatikan mereka kembali ke syurga yang maha indah itu”.
    Si hati halus terdiam seketika mendengarkan kata-kata si hati tenang itu.Jauh di sudut hatinya terpesona dengan isi kata itu.Lalu berkata lagi si hati tenang,”sudahlah wahai hati,marilah kau mengekoriku dan menerutiku sesungguhnya aku telah temui apa yang dikatakan kehidupan itu.Bergembiralah engkau diatas dunia ini kerana di syurga nanti adalah tempat hati-hati bersuka ria,maka jika engkau bersedih durja diatas dunia ini masakan engkau boleh memasuki syurga yang serba seronok itu?”.


    Hatta terikutlah si hati halus kepada hati tenang yang nama sebenarnya adalah ‘hati syaitan’ yang bertopengkan hati tenang.Maka terperosoklah si hati halus kembali kedunia yang maha keji itu,kembali lah dia ke kancah kemaksiatan dan kemungkaran.Berhiburlah dia dengan sesuka hatinya,tidaklah dia kenal malam atau siang lagi kerana dia telah terjerumus juga di dalam fatamogana yang di cipta oleh hati sesat maka bergelaklah,bergembiralah dia bersama-sama dengan hati-hati yang lain yang turut sama di sogok dengan keduniaan yang telah memeluk erat mereka lalu menjadi lemah dan longlai dan akhirnya menjadi bangkai.
    Segala jalan yang payah yang lelah selama ini dilaluinya telah dilupai kembali,cahaya yang dulu kurniakan Tuhannya kini semakin malap di telan kemungkaran.tidak langsung diingati nya kerana kesenangan telah beraja di dalam diri.
    Tetapi keindahan yang di sangka hakiki akhirnya memaki diri lalu memakan diri.Si hati hati halus akhirnya tersungkur tersembam sekali lagi dan kali ini lebih sakit dan parah.Si perit datang menghina lalu menjadi barah yang mengigit-gigit dan menikam-nikam  membunuh si hati halus sedikit demi sedikit.Si hati halus jatuh rebah tidak ada daya lagi dirinya untuk bangkit berdiri apatah lagi berjalan.Pada saat itulah si hati syaitan dan hati sesat menunjukkan diri mereka yang sebenar sambil ketawa berdekah-dekah di hadapan hati halus.Betapa terperanjatnya si hati halus melihat wajah mereka yang sebenar itu.
    Tapi apakan daya semuanya sudah terlambat dan dia sudah tiada daya lagi untuk melakukan apa-apa lagi.Maka si hati halus di campak keluar oleh hati sesat keluar dari fatamorgana dunia itu lalu terbukalah kembali hijab si halus akan dunia yang sebenarnya.Kegelapan,usang,dingin,keji,itulah yang ada di hadapannya.
    Haluannya yang dulu dilaluinya kini terlihat kembali nun jauh di hujung sana kelihatannya puncak masih tersergam indah untuk dicapainya.Tapi apakan daya kali ini dia sudah tidak mampu lagi untuk meneruskan pengembaraannya.Menangis dan menangis itulah yang mampu dilakukannya hari demi hari menunggu ajalnya yang kian hampir.Tapi dek kerana cinta Tuhannya kepada hambanya masih lagi diberikan peluang kepada hambanya,dengan mengatakan kepada si hati halus “mohonlah keampunan kepada Tuhanmu sesungguhnya Tuhanmu itu maha pengampun”.Lalu si hati halus mengangkat tangan seraya berdoa.
    Ya Tuhan,                                                                                                            
    Sesungguhnya engkau maha pengasihani,walau apapun perlakuan dan kebinasaan yang aku lakukan tetapi engkau tetap maha pengasih,maka terimalah taubat ku ini Ya Tuhan.Ampunkanlah aku wahai Tuhan yang maha adil.Tiada apa lagi yang aku mahukan selain daripada hanya keampunan dariMu Ya Tuhan,ampunkan aku,ampunkan aku,ampunkan aku.

Seraya itu maka matilah si hati halus seusai doanya dikabulkan Tuhannya yang maha tahu.Perginya si hati halus di dalam keadaan senyuman terukir di bibir kerana perjalanannya kali ini tidak memerlukan dia bergerak,tetapi Tuhannya menggerakkannya dengan kekuasaannya menuju ke alam cinta yang indah lagi haq dan bukan lagi fatamorgana.Maka hinggalah akhir hikayat si hati halus masih tidak tahu apakah yang menanti di hujung puncak itu,adakah kejayaan ataupun kebinasaan yang menanti,tetapi masih lagi dikejar oleh hati-hati yang lain di atas dunia itu.Tapi si hati halus akhirnya mengerti,walaupun perit haluan hidupnya,dipenuhi dengan kebencian,kesedihan,godaan,kesesatan dan kehinaan pada akhirnya hanya keampunan yang diingini,dari Tuhannya yang maha mengerti.


-Yusoff Maulana -

2 comments:

  1. Cerita penuh makna.
    Dari jiwa sang hamba.

    :')

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih :-),harap dapat memberikan terus memberikan sokongan :-)

      Delete