Monday, August 5, 2013

Mat Jenin 2012 (Mad Gein)

                  

    Hari ini si Mat Jenin kelihatannya sangat gembira, semenjak pulang dari negara barat, selepas berjaya memenangi pertandingan tarian lilin peringkat Negeri Sembilan maka dijemput pula melakukan persembahan di negara barat sana.Lagaknya pula semakin sombong, tidak lagi melepak di kedai kopi hujung kampung.Tiada kelas katanya.Namanya pula sudah ditukar ganti, dimarahi pula jika memanggilnya Mat Jenin.Disuruhnya orang memanggilnya Mad Gein.”Memang sesuai dengan tingkahnya yang gila”, kata Khairul Supian anak watan kampung berijazah sarjana muda universiti swasta Kuala Lumpur.Menyampah dia dengan karenah si Jenin itu, sedang dia pula runsing dengan hutang ptptn yang tertangguh itu.Si Jenin pula datang mengganggu.
    
    Mat Jenin tidak lagi bekerja memetik buah kelapa yang dilakukannya dahulu.Tiada masa depan katanya, “Kita mesti berpandangan jauh, bangsa kita ni bodoh! Suka melepak kedai kopi saja,orang dibarat itu kopinya saja berharga berpuluh ringgit secawan, senyum saja mereka membayarnya, orang kita ini kopi secawan seringgit pun mahu dimasukkan buku 555” kata Mat Jenin menempelak.Menyirap si Pak Wan Samsudin, qariah surau kampung yang baru pencen askar.Sedang dia juga masih belum lunas hutang kopinya di warung Osman Majid yang semakin bertambah-tambah.Berapa sangatlah pencen askar yang diterimanya setiap bulan.Anaknya saja ada 5 orang lagi yang masih bersekolah.
   
    Mat Jenin kini sudah pandai ‘speaking London’.’hau wa yu’.’wat du yu du’.’I makan yus sudu wif garpu’.Itulah serba sedikit yang di pelajarinya dengan Kong Kai Kong seorang cina mekanik basikal yang mengikutinya bersama-sama ke negara barat melakukan persembahan.Peduli apa dengan kata-kata orang walaupun si Kong Kai Kong hanya si mekanik basikal tetapi dengan kegigihannya berjaya juga dia memenangi pertandingan tarian lilin bersama dengan Mat Jenin dan membuktikan kepada sekalian kampung.

    Mat Jenin melopong berkhayal-khayal di ketepian tangga rumah peninggalan pusaka nenek moyangnya yang sudah semakin usang itu.Fikirannya terbayang-bayang lagi lenggok-lenggok semasa persembahannya di negara barat itu.Di usap-usap baju yang ditempah khas  kerja ‘designer’ terkenal Jimmy Chong yang penuh dengan ‘labuchi-labuchi’ yang mengerlip-gerlip mata memandang hasil daripada dana kerajaan kepadanya.Ah! bagaikan bintang besar semasa dia di negara barat itu, di sambut dengan karpet merah,persembahan pula di atas pentas besar dan hebat,wartawan pula sibuk menemu ramah dia bagaikan ‘Superstar’.Tapi sayang itu hanya angan-angan sahaja, sedang dia hanya melakukan persembahan disekolah kanak-kanak istimewa anjuran kedutaan Malaysia di negara barat.
     
    Esoknya tiba,Jenin mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di pekan memandangkan banyak masa yang terluang tidak tahu mahu dilakukan apa.duit upah yang diberikan kerajaan masih ada lagi, cukup untuk menampungnya seminggu lagi.Sedang dia berjalan-jalan mencuci mata, terserempak pula dengan kekasih lamanya si Ramlah Nor anak Pak Sulaiman Ismet pemilik kebun pisang terbesar dikampungnya.Teringat saat perpisahannya bersama dengan Ramlah Nor dahulu, Pak Sulaiman Ismet  tidak merestui perhubungan mereka kerana katanya si Jenin ini tidak ada masa depan.”Engkau ni tak layak menjadi menantu aku,kerjanya berkhayal sahaja,kalau aku bagi engkau kerjakan kebun pisang aku nanti habis pisangnya tinggal daunnya sahaja” kata Pak Sulaiman Ismet.Sedih dan sayu hati si Jenin terpaksa Berpisah dengan Ramlah Nor satu-satunya wanita yang pernah menerimanya menjadi kekasih.Tapi kini Ramlah Nor sudah kahwin dengan Karim Ishak pemuda kampung sebelah yang bekerja sebagai pelombong minyak Petrolah.Kata orang gaji si Karim Ishak 20 ribu ringgit Malaysia sebulan, Wah! Untung la badan si Ramlah Nor.
    
    Kelihatannya perut si Ramlah Nor membusung sarat mengandung,sambil menjinjing tangan anak kecil berusia lebih kurang 5 tahun.Lalu di tegur nya Ramlah Nor sedang mereka semakin hampir.”Wah bukan main sombong lagi ‘gefren’ lama aku ini,jalannya saja mengengkang sampai aku pun engkau tidak perasan ya Ramlah’’ kata Mat Jenin.”ek eh! Abang Nin tidak perasan pula Ramlah” kata Ramlah Nor.”Abang Nin dengar cerita orang kampung Abang Nin baru balik dari negara barat ya?, tak ada ke buah tangan untuk Ramlah” kata Ramlah.”Aku pergi sana atas urusan kerja,mana ada masa nak beli-beli buah tangan ni, bukankah suami engkau tu kaya kenapa tidak diajaknya melancong ke luar negara boleh la engkau membeli belah puas-puas” kata Mat Jenin dengan nada agak keras.”Ala! abang ni cakap sikit pun mau marah tau.Abang Karim tu mana la ada masa,sepanjang masanya di dengan minyak sahaja bila dia balik akulah yang jadi mangsa orang minyaknya,itu yang membusung perut aku ini” Kata Ramlah Nor.”Sudahlah Ramlah malas aku hendak melayan engkau ini, aku sekarang kena memandang ke hadapan,bila bertemu engkau ini aku teringat pula masa belakang aku.Sudahlah aku berangkat dahulu” kata Mat Jenin meninggalkan si Ramlah Nor terkontang kanting bersama anak kecilnya.
    
    Malam itu Mat Jenin tidak lena tidurnya memikirkan apa tindakan seterusnya di masa akan datang untuk meneruskan cita-citanya menjadi orang kaya yang bias membeli kereta-kereta mewah seperti Mercedes dan BMW.Makin bertambah sakit hatinya bila teringatkan perihal orang minyak itu.Malam itu si Mat Jenin tidur-tidur ayam sahaja, tidak lena pula tidurnya.
    
    Keesokannya seusai mandi,Mat Jenin bersiap-siap mahu ke gerai nasi lemak Mak Jah janda yang baru kematian suaminya kerana serangan strok.Masalah ketagihan rokok rakyat Malaysia hari ini semakin menjadi-jadi, walaupun Kerajaan sudah menaikkan harga rokok berlipat kali ganda,masih juga si penegarnya terus menyedutnya.Malah dibelinya pula rokok-rokok seludup yang mana kadar racunnya lebih merbahaya, lalu datanglah berbagai penyakit seperti gangren,barah paru-paru,sakit jantung,strok yang akhirnya membawa kepada kematian.Setibanya di gerai nasi lemak Mak Jah janda,Mat Jenin membungkus nasi lemak berlauk ayam rendang dan kacang lebih.Lalu dia beransur ke kedai Osman Majid sambil mengenakan sarapannya di situ.”Hai kata lepas balik dari negara barat ni dah taknak lepak kedai kopi kampung kononnya tak ada kelas” sapa Salim Bai warganegara Bangladesh yang sudah bermastautin dinegaranya dengan nada sindir.Mat Jenin hanya buat bodoh sahaja tidak pula dia melayan si Salim Bai itu.
    
    Seusai mengenakan sarapannya Mat Jenin hanya melepak sambil melayan akhbar Harian Metro yang muka depannya bertajuk ‘Kampung Serambi dua diserang orang minyak’.Sedang Mat Jenin khayal melayan akhbar itu tiba-tiba dia disapa oleh seseorang,”Assalammualaikum” Abdul Jono seorang ahli perniagaan dari Singapura menyapanya.”Waalaikumsalam” jawab Mat Jenin.Abdul Jono memperkenalkan dirinya kepada Mat Jenin.Katanya baru sampai dari Singapura menziarahi rumah mentuanya di sini.
    
    Maka selepas Bergelas-gelas kopi yang mereka kenakan,bermacam-macam lah cerita yang di keluarkan mereka,tentang negara baratlah,singa berekor ikanlah,tarian lilinlah,orang minyaklah.Tetapi satu topik yang sangat menarik minat si Mat Jenin.Cerita tentang Tender kerajaan.Katanya si Abdul Jono ini sering berulang alik dari singapura ke Putrajaya mengambil tender.
    
    Maka berceritalah si Abdul Jono “Encik Gein tahu tak,saya pernah dapat dana tender buat longkang untuk bangunan kerajaan sahaja saya boleh beli kereta BMW 7 series ini dengan membayar secara tunai” kata Abdul Jono sambil jarinya menuding kearah kereta mewahnya.Mat Jenin sangatlah amatnya teruja dengan cerita si Abdul Jono itu.Tidak dia sangka dengan hanya buat longkang sahaja boleh membeli kereta mewah.”Saya selepas ini pulang ke Putrajaya lagi ingin mengambil tender untuk buat papan tanda pula.Kelihatannya saya seperti kekurangan kakitangan,sudikah Encik Gein menjadi rakan sekerja saya untuk tender yang akan datang ini?.Mengikut pengiraan saya jika selepas siap semua papan tanda ini keuntungannya lebih kurang 2 juta ringgit.Boleh kita bahagi dua”.”Wat! ayu serius,don pelay wif mai hati ai am sensetif gai tau orangnya”.Kata Mat Jenin tiba-tiba ‘speaking London’.Tersedak Abdul Jono tika asyik meneguk kopi kelatnya itu.
    
    “Saya memang serius Encik Gein, didalam perniagaan saya memang seorang yang serius.Kerana saya telah di didik sedari kecil lagi oleh ibu bapa saya tentang perniagaan kerana kedua orang tua saya juga ahli perniagaan yang berjaya dan juga bergelar jutawan.Kata bapa saya dalam perniagaan tidak kenal saudara walaupun anak dan bapa,kerana itulah saya sudah 10 tahun tidak bertemu dengan bapa saya kerana kami bergaduh kerana saya pernah tersalah buat pelaburan yang hanya bernilai 10 ribu Dolar Singapura” kata Abdul Jono.”Cuba Encik Gein bayangkan dengan habuan 1 juta ringgit yang Encik Gein dapat macam-macam Encik Gein boleh lakukan.Dengan wang itu juga boleh mengubah hidup Encik Gein tidak perlu lagi lepak di kedai kopi buruk ini,makan nasi lemak di gerai-gerai, Encik Gein akan tinggal di perumahan-perumahan mewah yang selesa,tiada lagi gangguan orang minyak” kata Abdul Jono.
    
    Sungguh teruja si Mat Jenin, sedang Abdul Jono menggomel seorang Mat Jenin pula sedang berkhayal yang bukan-bukan.Setelah lebih 4 jam disitu, 4 gelas kopi seorang lalu mereka pun masing-masing meminta diri untuk pulang selepas bertukar nombor telefon dan berjanji akan berjumpa lagi selepas ini.Lalu Mat Jenin pun bergegas pulang ke rumah sambil fikirannya berkhayal-khayal untuk menjadi orang kaya.
    
    Selepas pertemuannya dengan Abdul Jono kehidupan Mat Jenin sudah banyak berubah.Tender papan tanda mereka telah diluluskan kerajaan,mereka telah mendapat dana dan kerja mereka berlangsung dengan cemerlang sekali.Dan akhirnya Mat Jenin sudah boleh berseronok-seronok dengan habuannya diterimanya.Maka dengan habuannya yang pertama sekali Mat Jenin Melaburkan dahulu didalam Bursa Saham,tuahnya mendatang wangnya menjadi berlipat kali ganda,memang Mat Jenin ini orang yang bijak.Lalu di robohnya pula rumah pusakanya di binanya pula rumah Banglo 4 tingkat siap dengan ‘lif’ dan ‘eskalator’ didalamnnya.Dibina pula kolam renang di luar banglonya sehingga kedalam banglonya.Lalu di belinya pula kereta idamannya Mersedes Benz keluaran terbaru edisi terhad yang mana harganya hanya presiden di negara barat dan dia sahaja yang mampu membelinya.Hidup Mat Jenin kini betul-betul sudah berubah.
    
    Sesudah puas dengan harta dalam negara Mat Jenin mahu meluaskan kekayaannya hingga ke luar negara pula.Maka berangkatlah Mat Jenin kembali ke negara barat.Tetapi kali ini dia betul-betul di sambut dengan karpet merah,disambut pula oleh presiden negara barat itu,lalu mereka mengadakan persetujuan perniagaan maka seusai itu semakin bertambahlah harta si Mat Jenin di luar negara.
    
     Selepas berseronok-seronok di negara barat hilang pula keinginan ingin pulang ke tanah air.Mana tidaknya Rumahnya disana bagaikan istana binaan Shah Jehan,kereta mewahnya sudah lebih dari 20 buah, bertemu pula dengan gadis idaman hati anak ‘Mat Saleh’ berketurunan Perancis berkacuk Latin bernama Louise Ashley seorang peragawati terkenal negara barat itu.Lalu berkahwinlah mereka menjadi perkahwinan terkenal seluruh dunia sehingga menggegarkan kampungnya dan orang-orang di kampungnya termasuklah kekasih lamanya si Ramlah Nor yang sedang menangis teresak-esak dan bapanya si Sulaiman Ismet menyesal tak sudah Khairul Supian masih tidak selesai lagi hutang ptptn nya dan orang minyak tidak lagi mengganas kerana sudah bertaubat.
    
    Hidup Mat Jenin bagaikan berada di Syurga sehinggalah pada suatu hari si Mat Jenin bergaduh dengan isterinya sedang Mat Jenin memandu  kereta mewahnya melusuri jalan pulang kerumah.Isterinya si Louise Ashley  memarahi si Mat Jenin kerana membelikannya rantai emas yang beratnya tidak sampai sekilo.Akibat dari tekanan yang di berikan oleh isterinya Mat Jenin berasa emosi yang teramat sangat lalu dia menekan pedal minyak keretanya dengan sangat kuat hingga menyebabkan kereta mewahnya meluncur dengan laju lalu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan,lalu menyebabkan kemalangan.
    
    Didalam kemalangan itu Mat Jenin dan isterinya si Louise Ashley tercampak keluar kereta dan melayang keudara dan pada saat itu barulah Mat Jenin sedar bawasanya dia sedang berkhayal di tengah jalan dan telah dilanggar oleh sebuah kereta mewah yang seperti dikenalinya, apabila dia melihat didalam kereta itu terpandang dia bawasanya si pemandu itu adalah Abdul Jono dan di belakang kereta itu ternampaklah dia Mohamad Mokhtar Salam, wakil rakyat adun kawasan kampungnya,rupa-rupanya si Abdul Jono itu hanyalah pemandu kepada wakil rakyat itu.Sebelum Mat jenin Terhempas ke tanah sempat juga dia terpikir.Bagaimana pula dengan tendernya,dananya dan apatah lagi habuannya.Mat Jenin mati ditempat kejadian kerana pendarahan yang teruk dikepala.



- Yusoff Maulana -