Monday, August 5, 2013

Mat Jenin 2012 (Mad Gein)

                  

    Hari ini si Mat Jenin kelihatannya sangat gembira, semenjak pulang dari negara barat, selepas berjaya memenangi pertandingan tarian lilin peringkat Negeri Sembilan maka dijemput pula melakukan persembahan di negara barat sana.Lagaknya pula semakin sombong, tidak lagi melepak di kedai kopi hujung kampung.Tiada kelas katanya.Namanya pula sudah ditukar ganti, dimarahi pula jika memanggilnya Mat Jenin.Disuruhnya orang memanggilnya Mad Gein.”Memang sesuai dengan tingkahnya yang gila”, kata Khairul Supian anak watan kampung berijazah sarjana muda universiti swasta Kuala Lumpur.Menyampah dia dengan karenah si Jenin itu, sedang dia pula runsing dengan hutang ptptn yang tertangguh itu.Si Jenin pula datang mengganggu.
    
    Mat Jenin tidak lagi bekerja memetik buah kelapa yang dilakukannya dahulu.Tiada masa depan katanya, “Kita mesti berpandangan jauh, bangsa kita ni bodoh! Suka melepak kedai kopi saja,orang dibarat itu kopinya saja berharga berpuluh ringgit secawan, senyum saja mereka membayarnya, orang kita ini kopi secawan seringgit pun mahu dimasukkan buku 555” kata Mat Jenin menempelak.Menyirap si Pak Wan Samsudin, qariah surau kampung yang baru pencen askar.Sedang dia juga masih belum lunas hutang kopinya di warung Osman Majid yang semakin bertambah-tambah.Berapa sangatlah pencen askar yang diterimanya setiap bulan.Anaknya saja ada 5 orang lagi yang masih bersekolah.
   
    Mat Jenin kini sudah pandai ‘speaking London’.’hau wa yu’.’wat du yu du’.’I makan yus sudu wif garpu’.Itulah serba sedikit yang di pelajarinya dengan Kong Kai Kong seorang cina mekanik basikal yang mengikutinya bersama-sama ke negara barat melakukan persembahan.Peduli apa dengan kata-kata orang walaupun si Kong Kai Kong hanya si mekanik basikal tetapi dengan kegigihannya berjaya juga dia memenangi pertandingan tarian lilin bersama dengan Mat Jenin dan membuktikan kepada sekalian kampung.

    Mat Jenin melopong berkhayal-khayal di ketepian tangga rumah peninggalan pusaka nenek moyangnya yang sudah semakin usang itu.Fikirannya terbayang-bayang lagi lenggok-lenggok semasa persembahannya di negara barat itu.Di usap-usap baju yang ditempah khas  kerja ‘designer’ terkenal Jimmy Chong yang penuh dengan ‘labuchi-labuchi’ yang mengerlip-gerlip mata memandang hasil daripada dana kerajaan kepadanya.Ah! bagaikan bintang besar semasa dia di negara barat itu, di sambut dengan karpet merah,persembahan pula di atas pentas besar dan hebat,wartawan pula sibuk menemu ramah dia bagaikan ‘Superstar’.Tapi sayang itu hanya angan-angan sahaja, sedang dia hanya melakukan persembahan disekolah kanak-kanak istimewa anjuran kedutaan Malaysia di negara barat.
     
    Esoknya tiba,Jenin mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di pekan memandangkan banyak masa yang terluang tidak tahu mahu dilakukan apa.duit upah yang diberikan kerajaan masih ada lagi, cukup untuk menampungnya seminggu lagi.Sedang dia berjalan-jalan mencuci mata, terserempak pula dengan kekasih lamanya si Ramlah Nor anak Pak Sulaiman Ismet pemilik kebun pisang terbesar dikampungnya.Teringat saat perpisahannya bersama dengan Ramlah Nor dahulu, Pak Sulaiman Ismet  tidak merestui perhubungan mereka kerana katanya si Jenin ini tidak ada masa depan.”Engkau ni tak layak menjadi menantu aku,kerjanya berkhayal sahaja,kalau aku bagi engkau kerjakan kebun pisang aku nanti habis pisangnya tinggal daunnya sahaja” kata Pak Sulaiman Ismet.Sedih dan sayu hati si Jenin terpaksa Berpisah dengan Ramlah Nor satu-satunya wanita yang pernah menerimanya menjadi kekasih.Tapi kini Ramlah Nor sudah kahwin dengan Karim Ishak pemuda kampung sebelah yang bekerja sebagai pelombong minyak Petrolah.Kata orang gaji si Karim Ishak 20 ribu ringgit Malaysia sebulan, Wah! Untung la badan si Ramlah Nor.
    
    Kelihatannya perut si Ramlah Nor membusung sarat mengandung,sambil menjinjing tangan anak kecil berusia lebih kurang 5 tahun.Lalu di tegur nya Ramlah Nor sedang mereka semakin hampir.”Wah bukan main sombong lagi ‘gefren’ lama aku ini,jalannya saja mengengkang sampai aku pun engkau tidak perasan ya Ramlah’’ kata Mat Jenin.”ek eh! Abang Nin tidak perasan pula Ramlah” kata Ramlah Nor.”Abang Nin dengar cerita orang kampung Abang Nin baru balik dari negara barat ya?, tak ada ke buah tangan untuk Ramlah” kata Ramlah.”Aku pergi sana atas urusan kerja,mana ada masa nak beli-beli buah tangan ni, bukankah suami engkau tu kaya kenapa tidak diajaknya melancong ke luar negara boleh la engkau membeli belah puas-puas” kata Mat Jenin dengan nada agak keras.”Ala! abang ni cakap sikit pun mau marah tau.Abang Karim tu mana la ada masa,sepanjang masanya di dengan minyak sahaja bila dia balik akulah yang jadi mangsa orang minyaknya,itu yang membusung perut aku ini” Kata Ramlah Nor.”Sudahlah Ramlah malas aku hendak melayan engkau ini, aku sekarang kena memandang ke hadapan,bila bertemu engkau ini aku teringat pula masa belakang aku.Sudahlah aku berangkat dahulu” kata Mat Jenin meninggalkan si Ramlah Nor terkontang kanting bersama anak kecilnya.
    
    Malam itu Mat Jenin tidak lena tidurnya memikirkan apa tindakan seterusnya di masa akan datang untuk meneruskan cita-citanya menjadi orang kaya yang bias membeli kereta-kereta mewah seperti Mercedes dan BMW.Makin bertambah sakit hatinya bila teringatkan perihal orang minyak itu.Malam itu si Mat Jenin tidur-tidur ayam sahaja, tidak lena pula tidurnya.
    
    Keesokannya seusai mandi,Mat Jenin bersiap-siap mahu ke gerai nasi lemak Mak Jah janda yang baru kematian suaminya kerana serangan strok.Masalah ketagihan rokok rakyat Malaysia hari ini semakin menjadi-jadi, walaupun Kerajaan sudah menaikkan harga rokok berlipat kali ganda,masih juga si penegarnya terus menyedutnya.Malah dibelinya pula rokok-rokok seludup yang mana kadar racunnya lebih merbahaya, lalu datanglah berbagai penyakit seperti gangren,barah paru-paru,sakit jantung,strok yang akhirnya membawa kepada kematian.Setibanya di gerai nasi lemak Mak Jah janda,Mat Jenin membungkus nasi lemak berlauk ayam rendang dan kacang lebih.Lalu dia beransur ke kedai Osman Majid sambil mengenakan sarapannya di situ.”Hai kata lepas balik dari negara barat ni dah taknak lepak kedai kopi kampung kononnya tak ada kelas” sapa Salim Bai warganegara Bangladesh yang sudah bermastautin dinegaranya dengan nada sindir.Mat Jenin hanya buat bodoh sahaja tidak pula dia melayan si Salim Bai itu.
    
    Seusai mengenakan sarapannya Mat Jenin hanya melepak sambil melayan akhbar Harian Metro yang muka depannya bertajuk ‘Kampung Serambi dua diserang orang minyak’.Sedang Mat Jenin khayal melayan akhbar itu tiba-tiba dia disapa oleh seseorang,”Assalammualaikum” Abdul Jono seorang ahli perniagaan dari Singapura menyapanya.”Waalaikumsalam” jawab Mat Jenin.Abdul Jono memperkenalkan dirinya kepada Mat Jenin.Katanya baru sampai dari Singapura menziarahi rumah mentuanya di sini.
    
    Maka selepas Bergelas-gelas kopi yang mereka kenakan,bermacam-macam lah cerita yang di keluarkan mereka,tentang negara baratlah,singa berekor ikanlah,tarian lilinlah,orang minyaklah.Tetapi satu topik yang sangat menarik minat si Mat Jenin.Cerita tentang Tender kerajaan.Katanya si Abdul Jono ini sering berulang alik dari singapura ke Putrajaya mengambil tender.
    
    Maka berceritalah si Abdul Jono “Encik Gein tahu tak,saya pernah dapat dana tender buat longkang untuk bangunan kerajaan sahaja saya boleh beli kereta BMW 7 series ini dengan membayar secara tunai” kata Abdul Jono sambil jarinya menuding kearah kereta mewahnya.Mat Jenin sangatlah amatnya teruja dengan cerita si Abdul Jono itu.Tidak dia sangka dengan hanya buat longkang sahaja boleh membeli kereta mewah.”Saya selepas ini pulang ke Putrajaya lagi ingin mengambil tender untuk buat papan tanda pula.Kelihatannya saya seperti kekurangan kakitangan,sudikah Encik Gein menjadi rakan sekerja saya untuk tender yang akan datang ini?.Mengikut pengiraan saya jika selepas siap semua papan tanda ini keuntungannya lebih kurang 2 juta ringgit.Boleh kita bahagi dua”.”Wat! ayu serius,don pelay wif mai hati ai am sensetif gai tau orangnya”.Kata Mat Jenin tiba-tiba ‘speaking London’.Tersedak Abdul Jono tika asyik meneguk kopi kelatnya itu.
    
    “Saya memang serius Encik Gein, didalam perniagaan saya memang seorang yang serius.Kerana saya telah di didik sedari kecil lagi oleh ibu bapa saya tentang perniagaan kerana kedua orang tua saya juga ahli perniagaan yang berjaya dan juga bergelar jutawan.Kata bapa saya dalam perniagaan tidak kenal saudara walaupun anak dan bapa,kerana itulah saya sudah 10 tahun tidak bertemu dengan bapa saya kerana kami bergaduh kerana saya pernah tersalah buat pelaburan yang hanya bernilai 10 ribu Dolar Singapura” kata Abdul Jono.”Cuba Encik Gein bayangkan dengan habuan 1 juta ringgit yang Encik Gein dapat macam-macam Encik Gein boleh lakukan.Dengan wang itu juga boleh mengubah hidup Encik Gein tidak perlu lagi lepak di kedai kopi buruk ini,makan nasi lemak di gerai-gerai, Encik Gein akan tinggal di perumahan-perumahan mewah yang selesa,tiada lagi gangguan orang minyak” kata Abdul Jono.
    
    Sungguh teruja si Mat Jenin, sedang Abdul Jono menggomel seorang Mat Jenin pula sedang berkhayal yang bukan-bukan.Setelah lebih 4 jam disitu, 4 gelas kopi seorang lalu mereka pun masing-masing meminta diri untuk pulang selepas bertukar nombor telefon dan berjanji akan berjumpa lagi selepas ini.Lalu Mat Jenin pun bergegas pulang ke rumah sambil fikirannya berkhayal-khayal untuk menjadi orang kaya.
    
    Selepas pertemuannya dengan Abdul Jono kehidupan Mat Jenin sudah banyak berubah.Tender papan tanda mereka telah diluluskan kerajaan,mereka telah mendapat dana dan kerja mereka berlangsung dengan cemerlang sekali.Dan akhirnya Mat Jenin sudah boleh berseronok-seronok dengan habuannya diterimanya.Maka dengan habuannya yang pertama sekali Mat Jenin Melaburkan dahulu didalam Bursa Saham,tuahnya mendatang wangnya menjadi berlipat kali ganda,memang Mat Jenin ini orang yang bijak.Lalu di robohnya pula rumah pusakanya di binanya pula rumah Banglo 4 tingkat siap dengan ‘lif’ dan ‘eskalator’ didalamnnya.Dibina pula kolam renang di luar banglonya sehingga kedalam banglonya.Lalu di belinya pula kereta idamannya Mersedes Benz keluaran terbaru edisi terhad yang mana harganya hanya presiden di negara barat dan dia sahaja yang mampu membelinya.Hidup Mat Jenin kini betul-betul sudah berubah.
    
    Sesudah puas dengan harta dalam negara Mat Jenin mahu meluaskan kekayaannya hingga ke luar negara pula.Maka berangkatlah Mat Jenin kembali ke negara barat.Tetapi kali ini dia betul-betul di sambut dengan karpet merah,disambut pula oleh presiden negara barat itu,lalu mereka mengadakan persetujuan perniagaan maka seusai itu semakin bertambahlah harta si Mat Jenin di luar negara.
    
     Selepas berseronok-seronok di negara barat hilang pula keinginan ingin pulang ke tanah air.Mana tidaknya Rumahnya disana bagaikan istana binaan Shah Jehan,kereta mewahnya sudah lebih dari 20 buah, bertemu pula dengan gadis idaman hati anak ‘Mat Saleh’ berketurunan Perancis berkacuk Latin bernama Louise Ashley seorang peragawati terkenal negara barat itu.Lalu berkahwinlah mereka menjadi perkahwinan terkenal seluruh dunia sehingga menggegarkan kampungnya dan orang-orang di kampungnya termasuklah kekasih lamanya si Ramlah Nor yang sedang menangis teresak-esak dan bapanya si Sulaiman Ismet menyesal tak sudah Khairul Supian masih tidak selesai lagi hutang ptptn nya dan orang minyak tidak lagi mengganas kerana sudah bertaubat.
    
    Hidup Mat Jenin bagaikan berada di Syurga sehinggalah pada suatu hari si Mat Jenin bergaduh dengan isterinya sedang Mat Jenin memandu  kereta mewahnya melusuri jalan pulang kerumah.Isterinya si Louise Ashley  memarahi si Mat Jenin kerana membelikannya rantai emas yang beratnya tidak sampai sekilo.Akibat dari tekanan yang di berikan oleh isterinya Mat Jenin berasa emosi yang teramat sangat lalu dia menekan pedal minyak keretanya dengan sangat kuat hingga menyebabkan kereta mewahnya meluncur dengan laju lalu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan,lalu menyebabkan kemalangan.
    
    Didalam kemalangan itu Mat Jenin dan isterinya si Louise Ashley tercampak keluar kereta dan melayang keudara dan pada saat itu barulah Mat Jenin sedar bawasanya dia sedang berkhayal di tengah jalan dan telah dilanggar oleh sebuah kereta mewah yang seperti dikenalinya, apabila dia melihat didalam kereta itu terpandang dia bawasanya si pemandu itu adalah Abdul Jono dan di belakang kereta itu ternampaklah dia Mohamad Mokhtar Salam, wakil rakyat adun kawasan kampungnya,rupa-rupanya si Abdul Jono itu hanyalah pemandu kepada wakil rakyat itu.Sebelum Mat jenin Terhempas ke tanah sempat juga dia terpikir.Bagaimana pula dengan tendernya,dananya dan apatah lagi habuannya.Mat Jenin mati ditempat kejadian kerana pendarahan yang teruk dikepala.



- Yusoff Maulana -

Monday, July 22, 2013

Rahmat & Nur Fatihah


    Hari ini selepas subuh sahaja Rahmat tidak lagi tidur seperti kebiasaannya.Sejak dia berguru dengan kiyai Uwais di hujung kampung itu dia kelihatannya sudah berubah.Tidak lagi melakukan kerja-kerja keji dan maksiat yang sering dilakukannya bersama dengan sahabat-sahabat kampungnya yang lain.Semuanya Selepas Kiyai Uwais mengenalkannya dengan Nur Fatihah.Ya Nur Fatihah! Sangat indah nama itu dalam diri Rahmat.Berkata Kiyai Uwais kepada Rahmat,"bukan semua manusia berpeluang mengenali dan memahami Nur Fatihah ini.Engkau sangat beruntung dapat mengenali dan memahaminya,maka selepas ini jadilah engkau manusia yang bersyukur dan jangan pula engkau menjadi kufur pula nanti".Memang Rahmat sangat bersyukur dapat mengenali dengan Nur Fatihah,tidak henti-henti dia berdoa kepada Tuhannya agar dikekalkan Nur Fatihah dalam dirinya.Sepertemunya dia dengan Nur Fatihah segala-galanya tentang Nur Fatihah adalah yang mengagumkan baginya.jika didengarinya Nur Fatihah dia akan bingkas bersemangat,jika dia melihat maka dia akan menangis dan jika dia merasainya dia akan terasa nikmat bersyukur itu.Kini Rahmat lebih matang di dalam hidupnya,ibunya juga lebih senang melihatnya,sudah rajin ke ladang menguruskan kambing-kambing peliharaannya.Saat kematian bapanya suatu ketika dahulu,Rahmat seperti diluar kawalan,perangainya berubah,bergaul dengan budak-budak nakal,membikin onar di sana sini,hingga menjadi bualan orang-orang kampung.Sakit juga hati ibunya dengan anaknya itu.Tapi apakan daya itulah saja satu-satunya anaknya bersama dengan arwah suaminya.Hendak di marahi takut nanti lari pula anaknya itu,tetapi bila di biarkan makin menjadi-jadi pula.Tapi itu dulu,kini anaknya sudah berubah,semuanya kerana Kiyai Uwais.Tergambar kesenangan di wajah ibunya bila memikirkan.Setelah memberi salam kepada ibunya,Rahmat terus menuju ke ladang ternakan kambing ibunya.pekerjaannya kini menjadi satu kebanggaan padanya,saat dia mendengar cerita bawasanya Rasulullah s.a.w dulu juga seorang pengembala kambing.Seusai memberi makan kepada kambingnya,Rahmat berehat seketika di tangga kandang merehatkan diri,diambilnya sehelai kertas di dalam kocek bajunya.Diatas kertas itu tertulis kata-kata Nur Fatihah yang sudah beratus kali di bacanya dan tidak pernah jemu dibacanya.Lantas seusai bacaannya itu Rahmat menangis kesedihan.Teringat akan dia waktu kejahilannya dahulu.Kalau diberikan peluang untuk kembali,mahu sahaja dia merubah semua itu.Tetapi dia mengerti itu tidak mungkin berlaku,semua itu sudah lepas dan dia harus pandang ke hadapan.Perkenalannya bersama Nur Fatihah mengubah segalanya.Kini Rahmat sudah pandai berfikir seperti orang yang waras,segala apa yang berlaku atas dunia ini mudah untuk dilihat dan difahaminya seperti sudah terbuka hijab yang selama ini ditutupi kejahilan.Rahmat mengerti bawasanya memuji-muji manusia dan memuja-muja dunia itu sebenarnya hanya sia-sia belaka,sesungguhnya puji-pujian itu hanya milik ALLAH S.W.T.kerana selepas apa yang dilakukannya hanya ALLAH yang maha pengampun lagi maha pengasihani,dan yang menguasai pada hari pembalasan.Tersentak dia saat memikirkan balasan yang akan ditimpanya atas kelakuannya dahulu.Rahmat dahulunya pernah menyekutukan Tuhannya apabila dia berkawan dengan syaitan demi untuk memuaskan nafsu duniawinya hinggakan pada akhirnya kawannya si syaitan itu memakan diri dan menyebabkan dia terlentang sakit berbulan-bulan.Nasib baik Kiyai Uwais masih sudi untuk membantunya walaupun orang kampung yang lain sudah membencinya.Kini Rahmat hanya menyembah Tuhannya yang tunggal itu kerna itulah sahaja yang berhak di sembah dan dia minta pertolongan.Tidak ada apa lagi yang diinginkan Rahmat melainkan berdoa kepada Tuhannya agar ditunjukkan jalan yang lurus dan bukannya jalan yang dimurkai dan sesat.Nur Fatihah,adalah cahaya membuka haluan hidupnya yang menerangi kehidupannya yang gelap itu.Sesungguhnya Rahmat sudah jatuh cinta dengan Nur Fatihah,kurniaan Tuhan kepadanya.Terus sahaja Rahmat membaca ayat-ayat diatas kertas itu yang berbunyi,


    "Segala puji-pujian bagi ALLAH seru sekian alam.Yang bersifat pengasih dan penyayang.Yang maha berkuasa pada hari pembalasan.Akan engkau sahaja wahai Tuhan kami yang kami sembah,dan hanya kepada engkau sahaja tempat kami minta tolong.Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.iaitu jalan orang-orang yang terdahulu yang telah engkau berikan nikmat,bukan jalan orang-orang yang engkau murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat".





                   - Yusoff Maulana -

Tuesday, July 16, 2013

Kembara Sang Hati

Assalammualaikum,
Ini adalah sebuah cerpen seorang hati didalam perjalanan tassauf.





                            

    Betapa sugul si hati halus apabila di hentak-hentak,di henyak-henyak oleh hati sombong,ego,hasad dan seonar dengannya,saat hati halus ini sedang menjalani liku-liku tebing-tebing yang curam dan baru-batu tajam yang menyucuk-yucuk,menolak-nolak agar hati halus ini tergelincir lalu tersungkur melutut dihadapan kebinasaan lalu mati.Saat hati halus ini memerlukan bimbingan dan kecintaaan akan tetapi dibalas dengan kebencian oleh hati-hati yang lain.Tapi hati halus terus tabah dan cekal menjalani kerana yakin dengan hidayah yang diperoleh dari cinta yang Maha Esa.
    Hati halus terus melangkah dengan bersungguh-sungguh walaupun merangkak-rangkak mengatur langkah agar dapat sampai ke puncak,walaupun hati halus sendiri tidak pasti apakah kejayaan yang akan ditemui ataupun kesialan yang sedang menanti?.Setibanya di belukar yang kelam si hati halus terhenti seketika dek kerana pandangannya yang terhalang untuk perjalanan diteruskan.Sedang ia berehat-rehat di bawah sebatang pokok datang seorang hati yang menyapa dan memperkenalkan dirinya sebagai hati sesat.Hati sesat dengan penuh kobarnya mencuba menyesatkan si hati halus dengan janji-janji manis.,keindahan-keindahan dunia,berseronok-seronok dengan isinya yang mana sebenarnya hanyalah sebuah fatamorgana sahaja.Jika mahu diikutkan kesedihan dan kepenatan yang dialaminya mahu sahaja dia mengikut kata-kata si hati sesat itu dapat juga dia berseronok-seronok di alam dunia itu.Tetapi di sebalik kehalusan hatinya itu ada keteguhan dan ketetapan yakni pada yang Satu yang diyakini sering membantu.
    Tidak mahu lagi dia terjerumus lagi kekancah kehinaan yang pernah dilaluinya dulu.Hidup penu dengan kemungkaran dan kemaksiatan.Setiap hari ada sahaja perkara-perkara  dosa yang mahu dilakukannya,apatah lagi pada waktu itu ramai sahabat-sahabat hati yang lain-lain turut bersama dengannya terjerumus ke lubang kehinaan.Tetapi semenjak dia mendapat hidayah dari yang Esa ini,sahabat-sahabat yang dulu berpaling kepadanya malah terus mencaci kepadanya.betapa pilunya si hati halus,terpaksa menjalani perjalanan ini sendirian tanpa ada teman disisi.Maka berjalanlah si hati halus sehingga tiba di belukar yang kelam ini dan bertemu dengan hati sesat,tetapi dengan semangat yang tekad si hati halus Berjaya bertemu dengan cahaya di sebalik belukar lalu dia berlari meninggalkan si hati sesat di dalam belukar yang kelam itu sendirian.Didalam lariannya menuju cahaya terlihat lah olehnya di kiri dan kanannya banyak hati-hati yang sedang leka dan lalai,berseronok dengan alam dunia yang sebenarnya hanyalah fatamorgana itu.Mereka itu telah berjaya disesatkan oleh hati sesat.

    Sekeluarnya dari belukar itu hati halus terlihat cantiknya pelangi yang muncul dipetang hari.Betapa gembiranya si hati halus apabila dihampirinya pelangi itu terdapat ramai hati-hati yang suci,putih dan bersih yang sama sepertinya juga mendapat cahaya dari Tuhan yang maha Esa.Bersama-sama memanjat-manjat tangga sang pelangi untuk menuju kepuncak yang di idami.Sewaktu di dalam pendakian itu bertemu lah si hati halus dengan si hati suci,dan mereka menjadi sahabat yang baik sepanjang perjalanan itu.Si hati suci banyak memberikan nasihat dan pandangan kepada si hati halus,diberikannya ilmu yang pernah dipelajarinya,katanya dengan ilmu itu nanti dapatlah dijadikan bekalan untuk sampai kepuncak nanti.Berbulan-bulan mereka mendaki pelangi itu tetapi tidak juga sampai-sampai kepuncak.Tetapi mereka tetap tekun mendaki tangga-tangga pelangi itu seperti mana tekunnya si hati suci mengajarkan ilmu kepada hati halus.
    Sehinggalah pada satu ketika si hati halus bertanya kepada hati suci apakah yang ada di puncak itu sebenarnya? Kerana sudah lama dia ingin mengetahui jawapannya.Akan tetapi persoalannya dijawab dengan kurang enak si hati suci,kerana baginya persoalan itu tidak patut wujud dan hati halus baginya sudah menderhaka kerana mempunyai persoalan seperti itu.Lalu dalam keadaan yang marah maka ditinggalkannya hati halus mendaki tangga pelangi itu sendirian kerana tidak mahu dia bersama dengan hati halus yang dikatanya menderhaka itu.Hati halus benar-benar berasa hiba,hanya kerana satu persoalan yang terbuku dia marahi dan dibiarkan sendirian dan bukannya dibimbing apatah lagi diperbetulkan.Tetapi hati halus masih sahaja meneruskan pendakiannya di tangga pelangi itu kerana dia tetap yakin dengan Tuhannya yang tunggal itu.
    Setibanyanya di penghujung tangga-tangga pelangi itu barulah si hati halus menyedari bawasanya perjalanannya bukanlah mendaki kepuncak,tetapi hanyalah untuk melihat puncak sesudah itu kembali turun kebawah semula.Selama berbulan-bulan dia dan hati-hati yang lain tertipu kononnya perjalanan mereka menuju ke puncak.Dilihatnya hati-hati yang lain sedang bermesyuarat mencari jalan yang lain untuk terus mendaki,dan dilihatnya si hati suci berbisik-bisik kepada mereka sambil memandang-mandang ke hati halus lalu mereka terus menjauhkan diri.Dengan perasaan yang hiba hati halus mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan seorang diri dan hanya berserah kepada kekasihnya yang Satu itu.
    Setelah puas mengembara diatas pelangi yang diharapkan menyinari lubuk hati itu,perjalanan si hati halus bertemu pula dengan kesurupan malam yang penuh dengan kedinginan yang menusuk-nusuk kecelah-celah nurani.tidak ada cahaya,tidak ada petunjuk tidak ada teman terus membuatkan si hati halus menangis teresak-esak kerana kesedihan yang teramat menikam-nikam dirinya itu.
    Setibanya di persimpangan si hati halus terhenti sejenak,jalan manakah yang harus di ambilnya,jalan kirikah atau jalan kanankah.Berhari-hari dia berada di persimpangan itu,fikirannya buntu,akhirnya dia memilih jalan kanan kerana permintaan alam yang sering mengatakan kanan itu lebih baik dari kiri.Maka berjalanlah si hati halus mengikuti haluan yang di pilihnya.seperjalanannya tanpa disedari dia ditegur oleh seorang hati yang tidak dia perasan daripada munculnya hati itu.Hati itu memperkenalkan diri sebagai hati tenang,katanya dia juga seorang pengembara ke puncak yang sudah berjaya tiba di sana dan dalam perjalanan pulang.Hati halus berasa amat teruja dengan perkenalannya bersama hati tenang,lalu dengan gopoh-gapah di Tanyakan kepada hati tenang apakah yang berada di puncak itu.Hati tenang hanya tersenyum sinis,dikatakan kepada hati halus.
    “Wahai hamba Tuhan mari aku ceritakan apa yang sebenarnya hala dan tujuan kamu.Janganlah kamu bersusah-payah,berperit lelah mencari apa yang ada di puncak itu.Sesungguhnya Tuhan kamu sudah memberikan kamu kesenangan dan kesedapan di atas dunia ini.Sesungguhnya perjalanan kamu kesana hanyalah sia-sia,kerana kamu dituntut untuk bersuka-ria diatas muka bumi ini”.Berkata hati tenang lagi “bukankah kelahiran kamu di dunia ini adalah kerana keseronokan ibu dan bapa kamu?”.Jadi mengapakah kamu menyempitkan fikiran kamu untuk mengetahui apa yang berada di puncak sana?”.Lalu berkata pula si hati halus,”bukankah dunia ini adalah tempat yang dikeji maka kerana itulah si  Adam dicampakkan ke dunia dan dikeluarkan dari syurga yang indah kerana mengingkari Tuhan nya?”.Lalu berkata si hati tenang,”tidakkah engkau sedar si Adam di ciptakan didalam keadaan yang mulia hanya daripada tanah hinggakan si syaitan mengingkari perintah Tuhan nya kerana merasakan dirinya lebih mulia dari si Adam,lalu Tuhan nya bersumpah si syaitan tidak akan pernah mencium bauan syurga dan di campakkan kedalam neraka selama-lamanya.Akan tetapi si Adam yang mengingkari Tuhannya hanya dicampakkan ke dunia dan di pisahkan sementara dengan si Hawa tetapi dengan memohon keampunan kepada Tuhannya mereka di temukan kembali dan menikmati kehidupan dunia sehingga melahirkan zuriat yang melimpah-limpah diatas dunia dan setelah dimatikan mereka kembali ke syurga yang maha indah itu”.
    Si hati halus terdiam seketika mendengarkan kata-kata si hati tenang itu.Jauh di sudut hatinya terpesona dengan isi kata itu.Lalu berkata lagi si hati tenang,”sudahlah wahai hati,marilah kau mengekoriku dan menerutiku sesungguhnya aku telah temui apa yang dikatakan kehidupan itu.Bergembiralah engkau diatas dunia ini kerana di syurga nanti adalah tempat hati-hati bersuka ria,maka jika engkau bersedih durja diatas dunia ini masakan engkau boleh memasuki syurga yang serba seronok itu?”.


    Hatta terikutlah si hati halus kepada hati tenang yang nama sebenarnya adalah ‘hati syaitan’ yang bertopengkan hati tenang.Maka terperosoklah si hati halus kembali kedunia yang maha keji itu,kembali lah dia ke kancah kemaksiatan dan kemungkaran.Berhiburlah dia dengan sesuka hatinya,tidaklah dia kenal malam atau siang lagi kerana dia telah terjerumus juga di dalam fatamogana yang di cipta oleh hati sesat maka bergelaklah,bergembiralah dia bersama-sama dengan hati-hati yang lain yang turut sama di sogok dengan keduniaan yang telah memeluk erat mereka lalu menjadi lemah dan longlai dan akhirnya menjadi bangkai.
    Segala jalan yang payah yang lelah selama ini dilaluinya telah dilupai kembali,cahaya yang dulu kurniakan Tuhannya kini semakin malap di telan kemungkaran.tidak langsung diingati nya kerana kesenangan telah beraja di dalam diri.
    Tetapi keindahan yang di sangka hakiki akhirnya memaki diri lalu memakan diri.Si hati hati halus akhirnya tersungkur tersembam sekali lagi dan kali ini lebih sakit dan parah.Si perit datang menghina lalu menjadi barah yang mengigit-gigit dan menikam-nikam  membunuh si hati halus sedikit demi sedikit.Si hati halus jatuh rebah tidak ada daya lagi dirinya untuk bangkit berdiri apatah lagi berjalan.Pada saat itulah si hati syaitan dan hati sesat menunjukkan diri mereka yang sebenar sambil ketawa berdekah-dekah di hadapan hati halus.Betapa terperanjatnya si hati halus melihat wajah mereka yang sebenar itu.
    Tapi apakan daya semuanya sudah terlambat dan dia sudah tiada daya lagi untuk melakukan apa-apa lagi.Maka si hati halus di campak keluar oleh hati sesat keluar dari fatamorgana dunia itu lalu terbukalah kembali hijab si halus akan dunia yang sebenarnya.Kegelapan,usang,dingin,keji,itulah yang ada di hadapannya.
    Haluannya yang dulu dilaluinya kini terlihat kembali nun jauh di hujung sana kelihatannya puncak masih tersergam indah untuk dicapainya.Tapi apakan daya kali ini dia sudah tidak mampu lagi untuk meneruskan pengembaraannya.Menangis dan menangis itulah yang mampu dilakukannya hari demi hari menunggu ajalnya yang kian hampir.Tapi dek kerana cinta Tuhannya kepada hambanya masih lagi diberikan peluang kepada hambanya,dengan mengatakan kepada si hati halus “mohonlah keampunan kepada Tuhanmu sesungguhnya Tuhanmu itu maha pengampun”.Lalu si hati halus mengangkat tangan seraya berdoa.
    Ya Tuhan,                                                                                                            
    Sesungguhnya engkau maha pengasihani,walau apapun perlakuan dan kebinasaan yang aku lakukan tetapi engkau tetap maha pengasih,maka terimalah taubat ku ini Ya Tuhan.Ampunkanlah aku wahai Tuhan yang maha adil.Tiada apa lagi yang aku mahukan selain daripada hanya keampunan dariMu Ya Tuhan,ampunkan aku,ampunkan aku,ampunkan aku.

Seraya itu maka matilah si hati halus seusai doanya dikabulkan Tuhannya yang maha tahu.Perginya si hati halus di dalam keadaan senyuman terukir di bibir kerana perjalanannya kali ini tidak memerlukan dia bergerak,tetapi Tuhannya menggerakkannya dengan kekuasaannya menuju ke alam cinta yang indah lagi haq dan bukan lagi fatamorgana.Maka hinggalah akhir hikayat si hati halus masih tidak tahu apakah yang menanti di hujung puncak itu,adakah kejayaan ataupun kebinasaan yang menanti,tetapi masih lagi dikejar oleh hati-hati yang lain di atas dunia itu.Tapi si hati halus akhirnya mengerti,walaupun perit haluan hidupnya,dipenuhi dengan kebencian,kesedihan,godaan,kesesatan dan kehinaan pada akhirnya hanya keampunan yang diingini,dari Tuhannya yang maha mengerti.


-Yusoff Maulana -

Thursday, July 11, 2013

DAKWAH JALANAN

DAKWAH JALANAN

Alhamdulillah aku dikurniakan rezeki yang lebih lalu aku mengambil kesempatan untuk bersedekah kepada gelandangan-gelandangan yang berpeleseran di sekitar Kuala Lumpur.Tidak lah banyak,hanyalah sebungkus mee goreng dan sekota air.Tetapi bukan itu yang aku tumpukan,tetapi yang aku tumpukan ialah menyampai kan islam kepada mereka.


Bagi aku islam itu bukan hanya tersangkut di masjid-masjid,madrasah-madrasah,tetapi islam itu di mana-mana dan harus disampaikan dan saling mengingati.memandangkan pada zaman ini orang-orang yang sudah mendapat hidayah 'mereferkan' kehidupan silam mereka sebagai 'zaman jahiliah' jadi mengapa tidak kita berdakwah seperti zaman jahiliah dulu.Dan mereka si gelandangan-gelandangan ini bukan hanya penagih dadah tetapi mereka juga ada juga yang sebatang kara tiada saudara mara tiada harta,ada juga yang mempunyai masalah mental yang mana pada fizikalnya kita lihat mereka ini normal tetapi hakikatnya mereka ada masalah mental yang membuatkan mereka tidak boleh bekerja di suatu tempat secara normal kerana bagi mereka orang lain tidak memahami mereka.Jadi bagi aku dengan pendekatan agama akan menguatkan lagi keyakinan mereka untuk terus hidup hatta tidak kira apa pun 'background' mereka aku yakin ALLAH S.W.T itu maha adil dan syurga dan neraka itu milik NYA dan hanya dia yang menentukannya.Kita sebagai hamba kepada NYA mesti menyampaikan agamanya tidak kira di mana pun kita berada InsyaALLAH.

Monday, October 15, 2012

Secebis Hati Lara

Terluka,
terguris,
terseksa menahan jiwa,
dek panahan kata-kata,
tertunggu,
menunggu,
apakah ada perubahan,
tapi masih terus membatu,
hawa nafsu sebagai pahalawan,
terus menerus begitu,
si lidah tidak dapat menahan,
terus menerjah dek secebis hati,
yang lembut terus luka,
hingga menjadi bara,
yang akhirnya menjadi barah,
hilanglah secebis,
yang tinggal hanya lara.


PERHAMBAAN

Ku lihat suram diwajahmu,
sepi ku nampak jiwamu,
tertanam seribu cerita duka sengsara,
didalam dunia yang fana,
dek kerana syaitan durjana,
dijanjikan kebahagiaan diidami,
tetapi sengsara yang dialami,
kurang ajar,
celaka,
sial,
manusia bukan kertas yang senang kau coret dan kau robekkan,
hei syaitan!!
Aku bencikan engkau serta keturunan kau,
lepaskan!!
Lepaskan mereka dari perhambaan,
kerana mereka lebih mulia dari kau.